Memaparkan catatan dengan label Pesta Candat Sotong. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pesta Candat Sotong. Papar semua catatan

22 Februari 2010

Musim Candat Sotong

Berpesta mencandat sotong

Oleh NOOR SHAMSIAH MOHAMAD

Perairan Pulau Redang, Pulau Kapas dan Pulau Bidong akan kelihatan bagaikan ada pesta di tengah laut apabila laut diterangi dengan sinaran lampu dari bot-bot nelayan sepanjang musim mencandat.

MOHD Ashraf Rosamizian seronok menunjukkan hasil candat sotong di Pulau Kapas, Terengganu,

AKTIVITI mencandat sotong amat sinonim dengan perairan negeri Terengganu dan lazimnya menjelang akhir bulan April hingga Julai, pasti ramai yang datang berkunjung untuk merasai sendiri pengalaman ini.

Bagi mereka yang pertama kali mencuba aktiviti ini akan terasa teruja lebih-lebih lagi apabila terbayangkan hasil tangkapan yang mampu mencecah sehingga puluhan malahan ratusan ekor sotong dalam satu malam jika terkena pada lubuknya.

Itu pun jika seseorang tidak mendapat mabuk dek buaian bot yang berhayun mengikut alunan ombak terutama apabila sauh bot diturunkan.

Oleh itu, bagi mereka yang kurang biasa melakukan aktiviti mencandat ini, pastikan anda mengambil ubat penahan mabuk laut terlebih dahulu untuk mengelakkan daripada berputih mata dan makan hati apabila melihat rakan lain seronok menaikkan seekor demi seekor hasil tangkapan.

Ada juga pelbagai petua yang boleh diamalkan untuk menghalang daripada mendapat mabuk laut seperti menghidu kulit limau dan merasa sedikit air laut sebaik sahaja menaiki bot.

Namun, apa petua sekalipun jika tidak biasa dilambung ombak, mungkin seseorang terpaksa menggantikan aktiviti yang sepatutnya menjadi aktiviti mencandat sotong kepada aktiviti memberi 'makan sotong' sehingga tiada lagi sisa-sisa dalam perut yang mampu dikeluarkan.

Berbekalkan candat, tekong bot yang berpengalaman akan membawa peserta ke kawasan yang dikenal pasti menjadi lubuk atau kandang sotong kerana di sinilah kawasan utama haiwan ini mengawan dan bertelur.

Lazimnya, kegiatan ini akan bermula ketika waktu matahari terbenam sehingga fajar menyinsing kerana sotong akan mula berkumpul dan bermain di sekitar kawasan bot disebabkan tertarik dengan cahaya lampu yang dipasang.

Kerana itulah di pesisiran laut di seluruh negeri Terengganu bermula Kemaman sehingga ke Besut terutama perairan Pulau Redang, Pulau Kapas dan Pulau Bidong akan kelihatan bagaikan ada pesta di tengah laut apabila kawasan laut diterangi dengan sinaran lampu dari bot-bot nelayan sepanjang musim mencandat sotong.

Antara candat yang sering digunakan ialah candat jenis twist, udang, umpan, buntai dan pelbagai jenis candat yang mempunyai kail melebihi sepuluh mata yang dilekatkan pada timah dan dibalut dengan kain yang berwarna-warni.

Namun kini, mata-mata kail berkenaan dihiasi pada umpan tiruan berbentuk anak ikan atau udang plastik yang berkilat.

Cara untuk menggunakan alat ini pula ialah dengan melepaskan candat ke laut sehingga sampai ke dasar dan kemudian mengangkatnya kira-kira sejengkal dari dasar laut.

Kemudian tanpa menggunakan banyak tenaga, peserta hanya perlu bermain dengan candat itu dengan 'menarik dan melepasnya' bagi menampakkan seolah-olah candat itu hidup bagi menarik perhatian sotong untuk mendekati candat ini.

Jika bernasib baik dan terkena pada kandangnya, candat belum sampai ke dasar pun, sotong telah tersangkut pada candat.

Apabila terasa berat, segeralah menariknya ke atas bot untuk mengelakkan sotong itu terlepas dan dikhuatiri hanya janggut sotong yang terlekat pada mata kail candat itu.

Tetapi awas! ketika menaikkan sotong, perlulah berhati-hati kerana dikhuatiri terkena pancutan air atau dakwat sotong.

Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPNT), Ahmad Fathil Abd Ghani berkata, aktiviti mencandat sotong telah mula dipromosikan sebagai satu daripada aktiviti dalam kalendar pelancongan negeri sejak tahun 1990 lagi.

"Jika dahulu, aktiviti ini merupakan kegiatan yang dilakukan oleh nelayan untuk mencari rezeki, namun ia kini dijadikan sebagai aktiviti menarik kedatangan pelancong ke Terengganu.

"Kini, apabila tibanya musim mencandat, nelayan juga memperoleh peluang untuk menambah sumber pendapatan mereka dengan membawa pelancong, tidak kira dari dalam atau luar negara untuk mencuba aktiviti ini dengan sewa bot RM500 sebuah, bergantung pada saiz bot," katanya.

Beliau berkata, MTPNT dengan kerjasama Tourism Malaysia giat mempromosikan aktiviti ini dengan mengadakan Fiesta Mencandat Sotong di Pulau Redang sejak tahun lalu.

Pakej-pakej untuk kegiatan ini turut diselitkan dengan pakej penginapan bagi menarik bukan sahaja untuk pelancong tempatan tetapi luar negara yang diadakan dengan kerjasama pengusaha pelancongan di negeri ini.

Mereka yang berminat menyertai aktiviti ini boleh mendapatkan keterangan lanjut daripada agensi-agensi pelancongan di negeri ini, MTPNT atau Pelancongan Malaysia. - Bernama

Sumber Kosmo Online