Memaparkan catatan dengan label Percutian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Percutian. Papar semua catatan

09 Disember 2007

Tarikan Terengganu




MASJID Kristal Taman Tamadun Islam tarikan terbaru di Terengganu.


Percutian ala kampung beri peluang pelancong alami keindahan warisan tradisi, budaya pendudukPELANCONG yang berkunjung ke Terengganu berpeluang memilih pelbagai tempat penginapan sama ada penginapan bertaraf lima bintang seperti hotel dan resort atau memilih untuk merasai suasana percutian ala kampung melalui program homestay. Program homestay yang ditawarkan beberapa kampung di sekitar negeri ini membolehkan pelancong merasai sendiri aktiviti seharian penduduk sekali gus mempelajari dialek Terengganu.

Program Homestay Kampung Teluk Ketapang yang menerima ramai pelancong dari luar negara seperti Belanda, Macau, Afrika Selatan dan Singapura menawarkan pakej penginapan menetap bersama keluarga angkat sebanyak RM60 sehari. Sebanyak 28 rumah diiktiraf dijadikan homestay kerana cantik dan bersih serta diluluskan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPNT) dan Tourism Negeri. Anak-anak penduduk kampung berusia antara 12 hingga 18 tahun akan memperkenalkan kepada tetamu mereka warisan tradisional Terengganu seperti permainan Eklokek, Cap Kekok Kaki Ayam, Pom Along-Along, Sende Dua Ende, Tok-Tok Na, Cak Ciling Cilang Ong.

SALAH sebuah hotel tersergam indah menanti pengunjung.

Permainan yang dipersembahkan itu bertujuan menggalakkan pelancong menguasai dialek Terengganu kerana setiap permainan mempunyai gurindam tersendiri. Malah, orang kuat program homestay ini, Md Azmi Abd Aziz berkata, permainan tradisional meninggalkan kesan mendalam kepada pelancong kerana tidak menggunakan sebarang perkakasan sebaliknya hanya tulang empat kerat dan dinyanyikan beramai-ramai. Selain berkampung di Teluk Ketapang, pelancong juga dibawa melawat tempat menarik seperti Muzium Negeri dan diberi penerangan mengenai sejarah Terengganu selain menaiki beca mengelilingi bandar hingga ke Pasar Besar Kedai Payang untuk membeli belah. Sejarah Batu Bersurat yang ditemui di Kampung Buluh, Kuala Berang juga mampu menggamit pelancong untuk memilih Homestay Kampung Buluh yang menyediakan lebih 27 rumah kepada pengunjung dengan menawarkan tiga pakej antara RM159 dan RM600 seorang.

AKTIVITI permainan tradisional di homestay.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Buluh, Samsureja Ali berkata, mereka yang hanya ingin menetap bersama penduduk dikenakan bayaran RM50 untuk sebuah rumah keluarga angkat. Sekiranya, ingin menetap lebih lama, pengunjung boleh membuat pilihan sama ada mengikuti pakej `Semalam Di Kampung Buluh' selama dua hari satu malam atau mendapatkan pakej `Homestay And Brang Amazon River Safari' selama empat hari tiga malam dengan harga RM599 seorang. "Selain beramah mesra dengan penduduk kampung, peserta akan merasai sendiri aktiviti harian kami seperti mengerau ikan dan membersihkan dusun buah-buahan dan memproses tembakau. "Mereka juga akan dibawa melawat tempat bersejarah seperti Memorial Batu Bersurat, Pusat Konservasi Tuntung, Makam Tok Gajah dan Taman Pertanian Sekayu," katanya. Terengganu juga mempunyai hotel bertaraf lima bintang untuk dipilih seperti Primula Beach Resort bersebelahan Pantai Batu Burok menawarkan lebih 248 bilik kepada pelancong yang inginkan ketenangan pemandangan pantai yang memutih. Pengurus Besar Primula Beach Resort, Rudy W Hermann berkata, seiring Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2008, hotel itu juga memperkenalkan Tahun Melawat Primula (TMP). Pelbagai aktiviti diatur untuk tempoh setahun antaranya persembahan tarian setiap hari, demo masakan secara mingguan selain menganjurkan pelbagai kejohanan seperti Kejohanan Sukan Tradisi, Pertandingan Tarian Tradisional, Pertandingan Memasak Nasi Dagang selain aktiviti pada musim tengkujuh Pertandingan Membina Istana Pasir Mega dan Kejohanan Bola Sepak Pantai Monsun Ekstrim. Pulau antara produk pelancongan yang diperkenalkan kerajaan negeri juga tidak ketinggalan menawarkan resort untuk keselesaan pelancong antaranya Laguna Redang Island Resort (LRIR) yang terletak di Pulau Redang. Pengurus Jualan LRIR, Khaironisa Gan berkata, LPIR mempunyai 444 bilik yang mengaplikasikan senibina Melayu membabitkan 12 blok di sepanjang pantai selain turut menyediakan beberapa pakej penginapan dan aktiviti air seperti memancing, mencandat sotong, menyelam dan berkenu serta dengan kelengkapan peralatan yang selamat kepada pelancong. Tidak kira rupa, bangsa dan dialek, pengunjung pasti berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan sama ada secara homestay atau tinggal di hotel.