06 Oktober 2007

D'Village Melaka

Image result for d'village resort ayer keroh melaka

D'Village Resort bagai cuti di kampung sendiri

PEMANDANGAN lanskap d'Village Resort di Ayer Keroh.
Deretan 56 chalet seni bina rumah tradisional Melayu wujud suasana nyaman gamit pengunjung AYER Keroh d'Village Resort (AKd'V) menjanjikan percutian anda bagaikan berada di sebuah kampung. Keunikan deretan 56 calet dengan seni bina rumah tradisional Melayu seolah-olah merasai pengalaman sebenar di desa. Masakan tidak pada sebelah senjanya, anda akan mendengar desingan bunyi cengkerik dan jika bernasib baik riang-riang rimba bersahutan di pokok tinggi yang ditanam di kawasan berhampiran. Pada sebelah pagi pula kedengaran suasana riang burung berkicau sambil menikmati matahari naik.
Keindahan d'Village Resort terserlah dengan pengekalan alam semula jadi seperti pokok bunga, herba, buah-buahan, kelapa dan pokok hutan di persekitarannya. Kehijauan tumbuh-tumbuhan itu yang menghiasi laluan pejalan kaki ke bilik penginapan mendamaikan suasana dan romantik. Namun, dalam menghadapi arus pemodenan, resort ini juga tidak mahu ketinggalan dengan penampilan 162 unit motel dan lima dewan seminar yang berlatarkan sejarah negeri berkenaan. Antaranya dewan Floord d'La Mar, Cheng Ho, Parameswara, Hang Li Po dan Tun Perak yang mengisahkan sejarahnya tersendiri. Setiap bilik dilengkapi kemudahan katil, penghawa dingin, televisyen dan telefon. Cahaya lampu yang romantik menghidupkan suasana dan menjadikan percutian anda semakin terselah bagi mereka yang baru mendirikan rumah tangga.


Ada sebuah kolam renang di resort ini untuk kemudahan penghuninya bermandi manda dan bersantau bersama keluarga. Bagi mereka yang ingin berehat sambil dilimpahi cahaya matahari di sinilah tempat yang sesuai memandangkan kawasannya agak luas. Walaupun terletak di pinggir bandaraya Melaka Bersejarah, d'Village adalah sebuah 'budget resort' yang sesuai bagi mereka berpendapatan sederhana untuk membawa keluarga mereka bercuti. Menariknya AKd'V ialah kedudukannya berdekatan dengan pusat pelancongan di negeri ini seperti Zoo Melaka, Taman Buaya, Taman Mini Asean, Taman Mini Malaysia, Muzium Lebah, Taman Botanikal, Kampung Buku dan Taman Rama-Rama. Malah, pusat pentadbiran Melaka iaitu Sri Negeri dan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) juga terletak di kawasan berhampiran iaitu lima minit masa perjalanan. AKd'V terletak kira-kira lima minit perjalanan dari Plaza Tol Air Keroh memudahkan pengunjung sama ada dari Selatan mahupun Utara tanah air untuk sampai ke sini. Untuk ke pusat bandaraya atau kompleks pelancongan di Bandar Hilir ini, hanya mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit perjalanan. Eksekutif Jualan & Pemasaran AKd'V, Suhaila Sulaiman, berkata apa yang menarik di resort ini ialah menu makanan yang ditawarkan iaitu bercirikan masakan kampung yang sukar diperoleh di mana-mana hotel mahu pun resort. "Kalau pengunjung merindui masakan ibu di kampung, Restoran D'cafe di AKd'V adalah tempatnya. Daripada masakan Melayu Melaka, baba nyonya, kantonis dan Szenhuan hinggalah masakan barat semua boleh diperoleh di sini. "Ia bukan saja sedap dan enak, malah anda akan terkenangkannya apabila pulang ke destinasi masing-masing. Jangan lepaskan peluang anda merasai keenakannya apabila bercuti di sini," katanya. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2007, AKd'V menyediakan pelbagai pakej percutian menarik di sini seperti Pakej Seminar dan Pakej Hari Keluarga. Pakej seminar ini membabitkan pihak kerajaan dan korporat yang meliputi penginapan dua hari semalam, enam kali makan dan minum, penggunaan dewan seminar serta peralatannya. Pakej hari keluarga meliputi penginapan dua hari semalam, makan malam BBQ, sarapan pagi dan makan tengah hari serta sukaneka. Maklumat lanjut mengenai AKd'V, anda boleh melayari laman web iaitu www.dvillage.com.my. Mereka yang berminat untuk bercuti di sini boleh menghubungi Suhaila di talian 016-2166657 atau AKd'V 06-2328000 atau talian bebas tol 1800-88-1200.

Klik pautan D Village

Tiada ulasan: