23 Mac 2010

Pulau Redang-Syurga Percutian


 Sumber : Kosmo Online

Permata Terengganu

Perasaan menjejak kaki di atas pasir pantai yang memutih, menghayati keindahan alam, bergaul mesra dengan masyarakat yang tidak berkejar dengan waktu, adalah anugerah sejurus tiba ke pulau-pulau di negeri ini.


SAMA ada bercuti di Pulau Redang, Perhentian, Kapas atau Lang Tengah, kedamaian seperti ini tersaji di depan mata.


JIKA berjalan lancar, tiada yang boleh mencacatkan agenda percutian di sini. Biar iklim tropika memancar dengan suhu sekitar 30 darjah Celcius dengan sekali-sekala diacah ribut petir, destinasi indah di perairan Pantai Timur ini jarang sekali menghampakan mereka yang mahu lari daripada kesibukan kota batu.
PENGUNJUNG Pantai Mak Kepit di Pulau Redang leka melihat seekor penyu agar kembali ke laut selepas bertelur.


Terengganu sememangnya bertuah kerana dikurniakan pulau-pulau magnet pelancongan seperti Pulau Redang, Perhentian, Lang Tengah dan Kapas. Setiap satu membawa tarikan tersendiri. Namun keindahan khazanahnya saling berangkai antara satu sama lain.
"Pulau-pulau ini sungguh istimewa kerana manusianya serta segala yang ada sejak lama dahulu," teringat kata seorang penduduk kampung di Perhentian Kecil dalam pekat loghat negeri. Barangkali dia kini sedang sibuk melayan tetamu luar yang berkunjung, apatah lagi canang Tahun Melawat Terengganu 2008 sedang rancak dipukul.
PERMAINAN wau yang mengujakan penonton di tepi pantai.


Dia memaksudkan warisan budaya, adat tradisi dan rahsia alam semula jadi yang sekian lama menjadi aset paling berharga.
Sama seperti pulau-pulau lain di perairan negeri ini, Pulau Redang paling banyak disebut-sebut. Terkenal dengan airnya yang jernih dan pada kebanyakan masa membiaskan warna firus, ia menyegerakan panggilan untuk membasahkan diri bagi sesiapa yang tiba dari Jeti Merang atau Jeti Shahbandar di Kuala Terengganu.
Berbanding Pulau Perhentian yang lebih diminati golongan backpacker, Redang dilihat sebagai destinasi yang up-market kerana kebanyakan pusat penginapannya bergaya resort.
ANTARA kegiatan sosioekonomi orang kampung yang berkait rapat dengan laut.


Namun walau apa pun bajet dan tujuan kedatangan, mencari tempat bermalam bukan sesuatu yang sukar. Menempah lebih awal walau bagaimanapun sangat digalakkan.
Di mana pun anda menginap, aktiviti seperti snorkeling, selam skuba, rentas hutan dan singgah pulau (island hopping) boleh dilakukan dengan keperluan minimum dan kos yang berpatutan.
Jika sesuai dengan musimnya, seseorang boleh menyertai keseronokan acara khas seperti mencandat sotong (sekitar bulan Mei), melihat penyu bertelur (lokasi seperti Pantai Mak Kepit, Pulau Redang) atau mendekati pelbagai program pengkayaan sejarah dan warisan pulau.
PULUT panggang yang berinti ikan menjadi snek popular selain keropok lekor.


Umpama permata zamrud yang berserakan, semua pulau-pulau ini memiliki elemen penarik seperti pantai memutih, penginapan bergaya serta hamparan laut yang menyimpan taburan lokasi terumbu karang yang menjadi habitat ribuan spesies hidupan marin.
GAYA santai mewah sambil menghadap laut seperti ini mudah ditemui di beberapa buah penginapan bertema resort di sepanjang hamparan pantai Pulau Redang.


Apakah lagi yang boleh menambah nilai kunjungan? Selain beriadah dengan perlawanan bola sepak pantai atau bola tampar dengan anak muda tempatan, mungkin ada yang tertarik pada aktiviti eksklusif tepi pantai ini - menaikkan wau! Permainan tradisi berseni ini bukan calang-calang tangan boleh berjaya melayangkannya ke udara.
Tidak dilupakan, aura mistik dan pesona yang hebat juga dirasakan jika pihak hotel menghadiahkan tetamu dengan persembahan kebudayaan Ulek Mayang. Dendang instrumen dan nyanyian merdu dalam bait-bait lagu cerita dongeng ini sudah lama memukau pelancong asing.
SELAIN penganjuran Piala Monsun pada musim tengkujuh, aktiviti mencandat sotong turut tersenarai dalam kalendar pelancongan negeri.


Paling tidak, hayati sahaja panorama alam dan aktiviti harian masyarakat tempatan. Nelayan yang pulang dengan habuan samudera, atau orang kampung yang mengeringkan ikan dan sotong begitu mengujakan pencinta fotografi.
Oh ya, jangan sesekali ditinggalkan yang satu ini - sekadar bersantai dan menghabiskan masa di atas kerusi malas sambil dibelai bayu laut. Mulut pula leka menjamu delikasi tradisi seperti keropok lekor, pulut panggang atau satar. Aduh, enaknya sebuah percutian!

03 Mac 2010

Musim Gelama

Kepada semua kaki pancing ,jom memancing ikan gelama di Pantai Teluk Lipat Dungun .Sekarang ni musim gelama mendarat di Kawasan Pantai Teluk Lipat Dungun.


22 Februari 2010

Musim Candat Sotong

Berpesta mencandat sotong

Oleh NOOR SHAMSIAH MOHAMAD

Perairan Pulau Redang, Pulau Kapas dan Pulau Bidong akan kelihatan bagaikan ada pesta di tengah laut apabila laut diterangi dengan sinaran lampu dari bot-bot nelayan sepanjang musim mencandat.

MOHD Ashraf Rosamizian seronok menunjukkan hasil candat sotong di Pulau Kapas, Terengganu,

AKTIVITI mencandat sotong amat sinonim dengan perairan negeri Terengganu dan lazimnya menjelang akhir bulan April hingga Julai, pasti ramai yang datang berkunjung untuk merasai sendiri pengalaman ini.

Bagi mereka yang pertama kali mencuba aktiviti ini akan terasa teruja lebih-lebih lagi apabila terbayangkan hasil tangkapan yang mampu mencecah sehingga puluhan malahan ratusan ekor sotong dalam satu malam jika terkena pada lubuknya.

Itu pun jika seseorang tidak mendapat mabuk dek buaian bot yang berhayun mengikut alunan ombak terutama apabila sauh bot diturunkan.

Oleh itu, bagi mereka yang kurang biasa melakukan aktiviti mencandat ini, pastikan anda mengambil ubat penahan mabuk laut terlebih dahulu untuk mengelakkan daripada berputih mata dan makan hati apabila melihat rakan lain seronok menaikkan seekor demi seekor hasil tangkapan.

Ada juga pelbagai petua yang boleh diamalkan untuk menghalang daripada mendapat mabuk laut seperti menghidu kulit limau dan merasa sedikit air laut sebaik sahaja menaiki bot.

Namun, apa petua sekalipun jika tidak biasa dilambung ombak, mungkin seseorang terpaksa menggantikan aktiviti yang sepatutnya menjadi aktiviti mencandat sotong kepada aktiviti memberi 'makan sotong' sehingga tiada lagi sisa-sisa dalam perut yang mampu dikeluarkan.

Berbekalkan candat, tekong bot yang berpengalaman akan membawa peserta ke kawasan yang dikenal pasti menjadi lubuk atau kandang sotong kerana di sinilah kawasan utama haiwan ini mengawan dan bertelur.

Lazimnya, kegiatan ini akan bermula ketika waktu matahari terbenam sehingga fajar menyinsing kerana sotong akan mula berkumpul dan bermain di sekitar kawasan bot disebabkan tertarik dengan cahaya lampu yang dipasang.

Kerana itulah di pesisiran laut di seluruh negeri Terengganu bermula Kemaman sehingga ke Besut terutama perairan Pulau Redang, Pulau Kapas dan Pulau Bidong akan kelihatan bagaikan ada pesta di tengah laut apabila kawasan laut diterangi dengan sinaran lampu dari bot-bot nelayan sepanjang musim mencandat sotong.

Antara candat yang sering digunakan ialah candat jenis twist, udang, umpan, buntai dan pelbagai jenis candat yang mempunyai kail melebihi sepuluh mata yang dilekatkan pada timah dan dibalut dengan kain yang berwarna-warni.

Namun kini, mata-mata kail berkenaan dihiasi pada umpan tiruan berbentuk anak ikan atau udang plastik yang berkilat.

Cara untuk menggunakan alat ini pula ialah dengan melepaskan candat ke laut sehingga sampai ke dasar dan kemudian mengangkatnya kira-kira sejengkal dari dasar laut.

Kemudian tanpa menggunakan banyak tenaga, peserta hanya perlu bermain dengan candat itu dengan 'menarik dan melepasnya' bagi menampakkan seolah-olah candat itu hidup bagi menarik perhatian sotong untuk mendekati candat ini.

Jika bernasib baik dan terkena pada kandangnya, candat belum sampai ke dasar pun, sotong telah tersangkut pada candat.

Apabila terasa berat, segeralah menariknya ke atas bot untuk mengelakkan sotong itu terlepas dan dikhuatiri hanya janggut sotong yang terlekat pada mata kail candat itu.

Tetapi awas! ketika menaikkan sotong, perlulah berhati-hati kerana dikhuatiri terkena pancutan air atau dakwat sotong.

Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPNT), Ahmad Fathil Abd Ghani berkata, aktiviti mencandat sotong telah mula dipromosikan sebagai satu daripada aktiviti dalam kalendar pelancongan negeri sejak tahun 1990 lagi.

"Jika dahulu, aktiviti ini merupakan kegiatan yang dilakukan oleh nelayan untuk mencari rezeki, namun ia kini dijadikan sebagai aktiviti menarik kedatangan pelancong ke Terengganu.

"Kini, apabila tibanya musim mencandat, nelayan juga memperoleh peluang untuk menambah sumber pendapatan mereka dengan membawa pelancong, tidak kira dari dalam atau luar negara untuk mencuba aktiviti ini dengan sewa bot RM500 sebuah, bergantung pada saiz bot," katanya.

Beliau berkata, MTPNT dengan kerjasama Tourism Malaysia giat mempromosikan aktiviti ini dengan mengadakan Fiesta Mencandat Sotong di Pulau Redang sejak tahun lalu.

Pakej-pakej untuk kegiatan ini turut diselitkan dengan pakej penginapan bagi menarik bukan sahaja untuk pelancong tempatan tetapi luar negara yang diadakan dengan kerjasama pengusaha pelancongan di negeri ini.

Mereka yang berminat menyertai aktiviti ini boleh mendapatkan keterangan lanjut daripada agensi-agensi pelancongan di negeri ini, MTPNT atau Pelancongan Malaysia. - Bernama

Sumber Kosmo Online